+6019 4101 400

Sejarah dan latar belakang UCB

Sejarah dan latar belakang UCB

         University College Bestari (UCB) ( Kolej Universiti Bestari ) merupakan salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama yang berusaha memartabatkan anak-anak Melayu miskin, golongan PPRT(Program Pembangunan Rakyat Miskin) dan anak yatim seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, penubuhan UCB tidak bermotifkan keuntungan semata-mata (non-profit making institution) tetapi lebih ke arah kebajikan. UCB turut merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana supaya peluang pendidikan ini juga dirasai oleh masyarakat luar bandar dan anak-anak yatim di seluruh negara.

Sejarah dan Kronologi Penubuhan

         Penubuhan  University College Bestari  ini bermula daripada kegiatan dan gerakan kumpulan yang terlibat dengan aktiviti kebajikan anak yatim Malaysia.

Pada tahap pertama perjuangan mereka berkonsepkan memberi perlindungan dan penjagaan kepada anak-anak yatim. Setelah melangkaui lebih 20 tahun bergiat dalam perjuangan tersebut, mereka mendapati bahawa matlamat akhir perjuangan membela nasib anak-anak yatim sukar dicapai jika hanya tumpuan pembangunan kanak-kanak terhenti pada aspek penjagaan dan pemeliharaan. Oleh itu, kumpulan ‘Think tank’ PEYATIM yang diketuai oleh YM Dato’ Dr. Tengku Mahmud bin Mansor telah merancang untuk membangun sebuah kolej yang bermatlamat memberi peluang kepada anak-anak yatim bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. Di samping itu, anjakan paradigma berlaku terhadap hala tuju rumah anak-anak yatim terutamanya dalam pembangunan pendidikan.

Penubuhan kolej ini juga bukan hanya untuk menampung keperluan pembelajaran anak-anak yatim, tetapi juga memberi tumpuan kepada pihak-pihak lain seperti anak-anak daripada golongan Program Pembangunan Rakyat Termiskin(PPRT), anak-anak Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), anak-anak luar bandar dan sebagainya yang tidak dapat melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Lantaran itu, semua pihak perlulah memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak UCB bagi menjayakan cita-cita pembangunan golongan yang tersisih dan tertinggal ini.

Pada awal penubuhannya pada tahun 1998, Kampus UCB  terletak di Kampung Saujana, Permaisuri, Setiu, Terengganu. Kampus yang disewakan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT) mempunyai kemudahan lengkap seperti 2 blok bangunan asrama, pejabat, bilik-bilik kuliah berhawa dingin, surau dan kafeteria. Kampus ini beroperasi sehingga tahun 2004 sebelum berpindah ke kampus baharu serba lengkap di Kg. Putera Jaya, 5 km dari Bandar Permaisuri.

Lokasi kampus sekarang ini sangat sesuai dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas. Suasana persekitaran yang dikelilingi oleh perkampungan sangat mendamaikan dan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif. Antara kemudahan yang disediakan ialah Bangunan Pentadbiran dan Akademik, Dewan Teater, 3 Blok asrama yang boleh memuatkan 2160 orang pelajar, surau, kafeteria, gelanggang sukan, dewan serba guna dan banyak lagi. Kampus ini juga terletak di pertengahan laluan jalan raya utama yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kota Bharu.

Perjalanan dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu sejauh 65 km hanya memakan masa lebih kurang 1 jam. Para pelajar juga boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas(K.Terengganu – Jertih) dengan kekerapan perjalanan setiap 1 jam. Bagi pelajar yang memerlukan pengangkutan ke luar Terengganu, Stesen Bas Permaisuri turut menyediakan kaunter tiket perjalanan ke hampir semua destinasi ke seluruh tanah air.

Naik Taraf University College Bestari

1 Ogos 2012, Kolej Teknologi Bestari telah dinaiktaraf menjadi sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dikenali sebagai Universiti College Bestari – UCB. ( Kolej Teknologi Bestari )

Pintu Masuk Ke UCB

Bangunan Akademik

Bangunan Akademik

Hospitality and Culinary Kitchen

Laluan Gajah Menyusur

Penginapan Pelajar

Penginapan Pelajar

Penginapan Pelajar